Thursday, October 8, 2009

LUKISAN

LUKISAN

Perkataan lukisan dalam bahasa Inggeris ialah ‘Drawing’ yang asalnya dari dua bahasa iaitu German dan Latin. Perkataan ‘to draw’ adalah dari perkataan ‘Old English’ iaitu ‘dragan’ yang bermaksud ‘to drag’ dan aktiviti yang berhubung dan tubuh badan.

Beberapa buku menyatakan lukisan adalah aktiviti melukis yang menggunakan bahan kering atau basah untuk mendapatkan kesan rupa dan bentuk pada sesuatu permukaan.

Lukisan juga boleh dikaitkan dengan pengalaman yang istimewa kepada seseorang pelukis yang digambarkan melalui gerak minda dan hati diterjemahkan di atas permukaan untuk dijadikan sebagai bahan dokumentasi. Ini terbukti dengan sebuah lukisan bertajuk ‘Unforgettable Fire’ yang dilukis oleh pelukis amatur iaitu Yusuko Yagamata di Jepun pada tahun 1945 menggambarkan peristiwa pengeboman Bandar Hiroshima.

Secara langsung lukisan adalah satu disiplin seni yang boleh dikaitkan dengan keperluan psikologi sejarah dan artistik. Hal ini terbukti bahawa pelukis perlu mempunyai tiga nilai kerangka dalam dirinya iaitu daya visualisai, daya emosi dan daya estetika.

Sebenarnya lukisan bukanlah milik mutlak pelukis, tetapi ia adalah milik semua manusia. Pengalaman anak-anak kecil menconteng di atas kertas atau dinding merupakan fitrah manusia melukis sebagai meluahkan perasaan dalam bentuk visualisasi.

Ini juga ada kaitnya dengan perjumpaan lukisan-lukisan purba di gua-gua, lukisan itu menjadi faktor penentu kepada pemujaan untuk pemburuan. Manusia zaman dahulu menggunakan lukisan sebagai asas untuk kekuatan tumpuan mereka kepada mencari nafkah.

Pada dinding zaman Mesir purba, lukisan dijadikan sebagai rakaman penghidupan. Lukisan digambarkan dalam satu penceritaan komik yang bersiri untuk meninggalkan satu dokumentasi sejarah yang gemilang.

Menurut Betti dan Sale (1997), secara umumnya empat kepentingan lukisan, antaranya ialah:

a. Tujuan untuk penyelidikan, kajian dan untuk melihat sesuatu peristiwa yang sebenar,

b. Tujuan untuk merakamkan sesuatu peristiwa.

c. Tujuan sebagai alat komunikasi idea (mencari idea yang terbaik)

d. Sebagai data menyimpan memori kepada pelukis untuk menghasilkan satu karya yang terbaik.

Karya lukisan yang dihasilkan biasanya menggunakan media jenis kering. Karya lukisan merupakan kerja peringkat awal yang dibuat untuk menghasilkan catan. Karya lukisan mementingkan unsur garisan untuk membentuk imej dan tidak menggunakan warna, kecuali warna daripada alat tulis seperti pensel warna atau krayon. Lukisan biasanya dihasilkan secara sepontan serta dapat menunjukkan keaslian dan keindividuan gaya persembahan pelukisnya.

JENIS-JENIS LUKISAN

Lukisan Figuratif: Tertumpu kepada mengkaji dan melukis tubuh manusia atau binatang. Pelukis perlu memahami anatomi terlebih dahulu untuk melukis. Melukis figuratif adalah amat sukar kerana dari segi kadar bandingan adalah perkara yang menentukan keindahan dalam karya lukisan figuratif.

Lukisan Kajian: Dilukis untuk mengkaji sesuatu benda. Misalnya kajian terhadap tumbuh-tumbuhan maka pelukis perlu melukis sesuatu bahagian itu dengan teliti sebagai bahan kajian. Kebiasaannya lukisan kajian lebih tertumpu kepada objek alam seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

Lukisan Informasi: Adalah bertujuan untuk memberi informasi kepada pelanggan, kebiasannya dalam bentuk ilustrasi atau peta. Lukisan ini memerlukan kemahiran yang khusus dan melukis dengan cermat dan bersih.

Lukisan Teknikal: Merupakan cabang seni yang dikatakan berkaitan saintifik. Lukisan teknikal memerlukan kemahiran dalam matematik kerana keperluan untuk melukis dengan kadar banding yang tepat. Contoh melukis kenderaan dan alatan pengguna.

Lukisan Konseptual: Jarang sekali kedengaran. Pelukis memerlukan imaginasi yang kuat untuk melukis sesuatu konsep yang baru. Misalnya sesebuah filem seram memerlukan lukisan satu watak seram untuk dijadikan watak dalam cerita tersebut, maka pelukis perlu melukis konsep watak tersebut dalam bentuk fantasi.

Lukisan Artistik: Ia hanya tertumpu kepada keindahan dalam pengkaryaan. Pelukis melukis hanya sekadar untuk mempamerkan karyanya sebagai sesebuah karya seni. Lukisan artistik juga dibuat dalam bentuk thamnil untuk mendapatkan idea karya-karya seni yang lain seperti arca, catan, percetakan dan sebagainya.

Lukisan Ilustrasi: Lukisan ilustrasi merupakan cabang lukisan tergolong dalam seni grafik. Lukisan ini dijadikan bahan untuk penerbitan, kartun dan animasi. Pelukis memerlukan kemahiran tertentu untuk melukis ilustrasi terutama dalam kemahiran melukis figuratif.

ELEMEN ASAS LUKISAN

Kualiti Garisan: Garisan merupakan elemen sangat penting dalam sesebuah hasil karya lukisan. Tanpa garisan seolah-olah ia bukan sebuah hasil lukisan sebaliknya menjadi karya catan. Hanya dengan garisan yang bersahaja dapat membentuk imej. Misalnya karya Sochu Suzuki bertajuk ‘Mouse’ (1980), dengan satu palitan garisan ala kaligrafi dapat menggambarkan seekor tikus. Inilah kekuatan garisan.

Sebenarnya kualiti garisan itu bukan tertumpu kepada kekuatan pada sesuatu karya sahaja tetapi ia boleh memberi kesan ilusi kepada kita. Contoh karya ahli teori kognitif ‘Gestalt’ menghasilkan lukisan garisan yang boleh memberi kesan ilusi kepada kita.

Kualiti garis memberi penegasan kepada subjek yang dilukis. Oleh yang demikian kajian garisan amat penting. Garisan akan membentuk mod sesuatu karya. Sebagai contoh dua karya yang sama temanya menggunakan bahan yang berbeza dan menggunakan teknik garisan. Tentu mod kedua-dua karyanya tersebut yang membezakan.

Perspektif dan proposi: Perspektif merupakan asas kepada membentuk karya yang sempurna. Pendedahan kepada nilai perspektif adalah latihan awal kepada pelukis. Pendedahan melukis di luar studio dapat menerangkan kedudukan perspektif yang betul. Terdapat perspektif satu titik lelap, dua titik lelap, tiga titik lelap dan perspektif pelbagai titik lelap.

Kesan Pencahayaan: Pada umumnya karya lukisan akan lebih menarik sekiranya pengkaryanya dapat menfaatkan kesan cahaya pada karyanya. Penggunaan kesan cahaya dapat memberi mod pada karya di samping dapat memperjelaskan suasana pada karya tersebut. Aspek-aspek yang penting bagi menentukan pencahayaan ialah kawasan paling cerah, cerah, bebayang, bebayang gelap, pantulan cahaya dan bebayang objek.

Jalinan dan Gesture: Jalinan akan dibentuk melalui garisan dan kesan warna. Kesan Gesture juga dapat membentuk jalinan yang menarik. Pelukis terkenal akan mempelajari lukisan melalui lakaran yang bebas tetapi menampakkan imej yang hendak disampaikan.

Kesan jalinan akan dibentuk melalui garisan silang, bintit, garisan bergoris dan sebagainya. Jalinan juga dapat membentuk kedalaman intensiti ton.

Corak dan reka bentuk: Pada umumnya corak dan reka bentuk dalam karya lukisan adalah menjurus kepada pengadunan pengkarya dalam lukisannya. Karya Jasper Johns bertajuk Flag (1958) sebagai contoh karya lukisan yang menekankan satu corak dan reka bentuk. Beliau menggunakan pensil di atas permukaan kertas untuk membentuk corak dan reka bentuk sebagai lakaran yang bersahaja tetapi mempunyai gaya persembahan yang menarik.

Ruang: Pelukis yang baik akan membahagikan ruang dengan sempurna. Pelukis master menggunakan ruang sebagai kekuatan dalam sebuah karya. Karya lukisan Cina menggunakan ruang kelegaan sebagai identiti karya mereka. Terdapat tiga jenis ruang yang boleh digunakan dalam penghasilan karya lukisan iaitu ruang dalam, ruang cetak dan ruang datar. Ruang-ruang ini bergantung kepada susun atur objek yang akan dilukis.

Struktur: Untuk menghasilkan sesebuah lukisan pelukis akan menentukan struktur bentuk terlebih dahulu. Pelukis harus diajar membentuk struktur yang betul agar lorekan untuk membentuk imej menjadi lebih menarik. Sebagai contoh lukisan yang banyak menggunakan struktur ialah lukisan teknik.

Bentuk: Kajian bentuk dalam sesuatu karya akan digabungkan antara perspektif, ton, jalinan dan struktur. Pelajaran awal pelukis didedahkan dengan bentuk-bentuk geometri seperti bulat, empat segi, kun dan sebagainya.

Media dan teknik lukisan

Media: Media kering yang sering digunakan ialah pensil, arang/charcoal, berus, pastel, semua jenis pen, berus, conte dan pensil warna. Manakala media basah yang selalu digunakan ialah cat air, dakwat, cat akrilik, cat minyak, cat poster dan cat tempera.

Teknik: Penekanan kepada teknik dalam pengkaryaan lukisan memerlukan latihan yang berterusan. Antara teknik yang paling popular ialah teknik ‘Gesture’ yang menjadi satu identiti dalam karya lukisan. Walau bagaimanapun banyak teknik boleh diterokai untuk mendapatkan mutu karya yang baik.

Lukisan telah menjadi asas penting kepada semua kepakaran seni. Di mana ia telah dipraktikkan sejak pra sejarah, pertengahan dan sekarang. Pada lewat abad ke-12 ia telah meninggalkan banyak bentuk seni popular kepada seniman dan amatur.

Lukisan juga menawarkan kita saluran yang menarik untuk seni imaginasi. Lukisan boleh menyelamatkan pengalaman menarik dan sementara ia tidak membuat perhubungan antara peribadi dan sejagat sepenuhnya dengan jelas, lukisan boleh mempunyai pandangan sepintas lalu ke dalam pengalaman itu. Ia boleh membangkitkan memori. Ia boleh menjatuhkan cahaya dorongan hidup seperti kematian, percintaan, kuasa, mengejar intelektual, kerja, impian dan emosi. Lukisan juga adalah bentuk seni yang bersifat demokrasi yang bermaksud pelukis dapat atau mempunyai hak kebebasan dalam menghasilkan seni. Nilai lukisan tidak sahaja untuk sesuatu yang mudah diperoleh tetapi terhadap kerapatan kemesraannya dan potensi untuk bekerja melalui idea. Lukisan juga boleh mempunyai kesannya dengan maksud yang lebih sederhana.

Lukisan kini dengan teguh wujud sebagai medium dalam pandangannya yang tersendiri. Lakaran kini juga mempunyai nilai aestetik dan komersil yang memberi taraf sama dengan catan dan arca. Konsep Renaissan tentang peraturan lakaran di dalam seni tampak adalah dipengaruhi dengan mendalam sejak dahulu lagi. Zaman Renaissan, mempunyai dua fungsi. Pertama melatih pelukis muda. Kedua menjadi jalan kepada kelahiran pelukis untuk meluahkan idea sebelum karya sebenar.

…….. sometimes, creating image in the form of lines based on insinghts. Do not narrow drawing just based on observation. Drawing is a visual language to communicate.

Berdasarkan kepelbagaian definisi lakaran yang diberikan oleh seniman/karyawan dan penghayatan seni terhadap lukisan berdasarkan pengalaman, pengetahuan dan keinginan memecahkan tradisi lakaran yang konvensional ia telah membuka jalan baru kepada seniman/karyawan untuk meneroka peluang dalam lukisan dan terhasilnya banyak lakaran yang berdimensi baru.

PROSES PENGHASILAN LUKISAN

Untuk menghasilkan karya lukisan, penekanan kepada perkara-perkara seperti jenis lukisan, elemen asas, media dan teknik merupakan perkara yang harus dititikberatkan. Bagi kerja-kerja studio, pengamatan akan menumpukan kepada pemokusan objek, komposisi dan susunan objek yang akan dilukis. Manakala di luar studio penekanan kepada pemokusan dengan menggunakan tetingkap dan melihat dari aspek perspektif serta pencahayaan. Aspek-aspek pengamatan semasa melukis perlu diberi penekanan antaranya ialah: ruang dan objek, subjek dan latar belakang dan saiz dan kadar banding. Perkara-perkara ini adalah sebagai penilai kepada sesuatu karya.